Saturday, May 15, 2010

Riwayat hidup imam-imam qiraat sepuluh

Dalam rangka memberi penghargaan kepada imam-imam qiraāt, dan untuk memudahkan ingatan, maka nama-nama mereka diabadikan pada qiraāt mereka masing-masing, seperti qiraāt Nāfi’, qiraāt Ibn Kāthīr, dan sebagainya. Akan tetapi, hal ini bukan bererti mereka sendiri yang menciptakan qiraāt tersebut. Qiraāt yang mereka gunakan itu tetap bersumber dari Rasulullah s.a.w., melalui talaqqī (penerimaan secara langsung) kepada generasi-generasi sebelumnya.

Para imam qiraāt tersebut sudah tentu mempunyai murid yang ramai yang meriwayatkan dan meneruskan qiraāt guru-gurunya hingga sampai kepada kita sekarang ini. Namun, dalam dunia qiraāt, hanya diambil dua orang perawi sahaja dari imam qiraāt masing-masing.

Adapun, imam-imam qiraāt yang masing masing disertai dengan dua orang perawi adalah seperti berikut:



1 Nāfi’

Nama penuh Imam Nāfi’ ialah Nāfi’ bin Abd al-Rahmān bin Abū Nu’aim al-Laisī. Beliau dilahirkan pada tahun 70 H dan wafat pada tahun 169 H di Madinah.

Beliau mempunyai sanad guru yang ramai, antaranya ialah Abū Ja’afar, Abd al-Rahmān bin Hurmuz, Abd al-Rahmān dari Abdullāh bin Abbās dan Abū Hurairah, dari Ubay bin Ka’ab dan Ubay dari Rasulullah s.a.w. Perawi Imam Nāfī’ ialah:

a. Qālūn

Nama sebenar beliau ialah Abū Mūsā Isā bin Mīnā. Beliau di gelar Qālūn kerana baik dan bagus suaranya membaca al-Qur’an. Qālūn itu berasal dari bahasa Rumawi yang bermaksud baik. Beliau dilahirkan pada tahun 120 H dan wafat pada 220 H di Madinah.

b. Warsy

Nama sebenar beliau ialah Abu Said Uthman bin Said al-Misri. Beliau dilahirkan pada 110 H dan wafat pada tahun 197 H. Beliau mendapat gelaran Warsy kerana beliau adalah orang yang paling baik suaranya dan fasih lidahnya membaca al-Qur’an. Apabila beliau membaca al-Qur’an, orang datang berduyun-duyun mendengarnya, sehingga orang tidak pernah bosan mendengarnya.



2 Ibnu Kathir

Nama sebenar Ibnu Kathir ialah Abdullah bin Kathir bin ‘Amru bin Zazhan. Beliau dilahirkan pada tahun 45 H dan wafat di Mekah pada tahun 120 H.

Ibnu Kathir mempelajari al-Qur’an dan qiraat dari Abi al-Saib, Abdullah bin Saib, Mujahid dan lain-lain. Ibnu as-Saib mempelajari al-Qur’an daripada Ubai bin Ka’ab dan Umar bin al-Khatab daripada Rasulullah s.a.w.. Ramai yang mengambil bacaan daripada Ibnu Kathir. Terdapat dua perawi daripadanya yang termasyhur, iaitu;

a. Al-Bazzi

Nama sebenar beliau ialah Ahmad bin Muhammad bin Abdullah bin Qasim. Beliau dilahirkan pada tahun 170 hijrah dan telah kembali ke rahmatullah pada tahun 250 hijrah di Mekah. Beliau merupakan salah satu imam qiraāt dan muazzin di Masjidilharam.

b. Qunbul

Nama sebenar beliau ialah Muhammad bin Abd al-Rahman bin Muhammad al-Makhzumi. Beliau dilahirkan pada tahun 190 Hijrah dan wafat pada tahun 291 hijrah di Mekah. Beliau digelar Qunbul kerana orang ramai memanggilnya dengan panggilan Al-Qanabilah.



3 Abu ‘Amru Al-Basri.

Beliau ialah Zabban bin al-‘ala bin Umar bin al-Iryan bin Abdullah bin al-Husin. Beliau dilahirkan pada tahun 68 hijrah dan wafat di Kuffah pada tahun 154 hijrah. Beliau telah mempelajari al-Qur’an daripada beberapa orang guru, iaitu Abi Ja’far, Nafi’ bin Abi Naim, ‘Abdullah bin Kathir, ‘Asim bin Abi al-Nujud, dan Abi al-‘Aliyah. Abu al-‘Aliyah telah mengambil bacaan daripada ‘Umar Al-Khattab, Ubai bin Ka’ab, Zaid bin Thabit, dan Abdullah bin ‘Abbas, daripada Rasulullah s.a.w.. Ramai yang telah mengambil bacaan daripada Abu ‘Amru, antaranya ialah Yahya bin al-Mubarak, dan lain-lain lagi. Antara perawi yang termashur ialah al-Duri dan al-Susi.

a. Al-Duri

Nama sebenar beliau ialah Hafs Bin Umar Bin Abdul Aziz. Beliau dilahirkan pada tahun 150 hijrah dan wafat pada tahun 246 hijrah.

b. Al-Susi

Nama sebenar beliau ialah Soleh Bin Ziyad Bin Abdullah Al-Susi. Beliau dilahirkan pada tahun 171 Hijrah dan wafat pada 261 Hijrah. Beliau merupakan Qari yang dhabit dan thiqah.



4 Ibnu ‘Amir As-Syamī

Beliau ialah Abdullah bin ‘Amir bin Yazid bin Tamim. Gelaran beliau ialah Abu Imran. Beliau dilahirkan pada tahun 21 Hijrah dan wafat pada tahun 118 Hijrah di Damsyik. Beliau mempelajari Qiraat daripada Uthman bin ‘Affan daripada Rasulullah s.a.w..

Terdapat ramai yang mengambil bacaan daripada Ibnu ‘Amir. Antara perawi yang termasyhur ialah Hisyam dan Ibnu Zakwan.

a. Hisyām

Nama sebenar beliau ialah Hisyām bin ‘Umar bin Nāsir. Nama gelarannya ialah Abu al-Wālid Beliau dilahirkan pada tahun 153 Hijrah dan wafat pada 245 Hijrah di Damsyik.

b. Ibnu Zakwan

Nama sebenar beliau ialah Abdullah bin Ahmad bin Basyir bin Zakwan al-Dimasyqi. Beliau merupakan syiekh qiraat di syam dan imam di masjid Damsyik. Beliau dilahirkan pada tahun 173 Hijrah dan wafat pada tahun 242 Hijrah.


5 ‘Asim Al-Kufi

Nama beliau ialah ‘Asim bin Bahdilah Abi al-Najud al-Asadi. Nama gelaran beliau ialah Abu Bakar. Beliau menjadi imam qiraat di kuffah selepas gurunya Abi Abdul Rahman al-Sulami. Beliau telah mempelajari qiraat daripada gurunya, Abi Abd al-Rahman bin Abdullah al-Sulami. Abi Abd al-Rahman mengambil bacaan daripada Abdullah bin Mas’ud, Uthman bin ‘Affan ‘Ali bin Abi Talib, dan Ubay bin Ka’ab dan Zaid bin Thabit. Semua para sahabat iaitu Abdullah bin Mas’ud, Uthman bin ‘Affan, Ali bin Abi Talib, Ubay bin Ka’ab dan Zaid bin Thabit mengambil bacaan daripada Rasulullah s.a.w..Beliau telah wafat pada tahun 127 Hijrah.

Ramai yang telah mengambil bacaan daripada ‘Asim. Antara perawi yang paling masyhur ialah Syu’bah dan Hafs.

a. Syu’bah

Nama sebenar beliau ialah Syu’bah bin ‘Ayyash bin Salim. Beliau dilahirkan pada tahun 90 Hijrah dan wafat pada tahun 193 Hijrah. Beliau merupakan imam besar dan ulama’ di kalangan Ahli Sunnah di Kufah. Beliau telah Khatam al-Qur’an sebanyak 18 ribu kali.

b. Hafs

Nama sebenar beliau ialah Hafs bin Sulaiman bin al-Mughirah al-Asadi al-Kufi. Beliau dilahirkan pada tahun 90 Hijrah dan wafat pada tahun 180 Hijrah. Kebanyakan umat Islam kini membaca Al-Qur’an menurut riwayat Imam Hafs ini.



6 Hamzah Al-Kufi

Nama sebenar beliau ialah Hamzah bin Habib bin ‘Immarah. Beliau merupakan Imam Qiraat di Kuffah selepas kewafatan Imam ‘Asim. Beliau dilahirkan pada tahun 80 hijrah dan wafat pada tahun 156 hijrah di Kufah. Beliau mempelajari Qiraat daripada Abu Muhammad Sulaiman bin al-A’masy daripada Abu Muhammad Yahya bin Wathab al-Asadi daripada Abu Syibil ‘Alqamah bin Qis daripada Abdullah bin Mas’ud daripada Rasulullah s.a.w.

Ramai yang telah mengambil bacaan daripada Imam Hamzah ini. Antara perawi yang termasyhur ialah Khalaf dan Khallad.

a. Khalaf

Nama sebenar beliau ialah Kholaf bin Hisyam bin Tha’lab. Nama gelaran beliau ialah Abu Muhammad. Beliau merupakan seorang yang thiqah, Zuhud dan ‘Alim. Beliau dilahirkan pada tahun 150 Hijrah dan wafat pada tahun 229 Hijrah di Baghdad.

b. Khallad

Nama sebenar beliau ialah Khallad bin Khalid As-Syaibani. Beliau dilahirkan pada tahun 130 Hijrah dan wafat pada tahun 220 Hijrah di Kuffah. Beliau merupakan seorang imam qiraat yang thiqah dan sangat mengetahui mengenai kebenaran.



7 Al-Kisaie Al-Kufi

Nama sebenar beliau ialah Ali bin Hamzah bin Abdullah Al-Asadi. Nama gelaran beliau ialah Abu Hasan. Beliau merupakan guru qiraāt pada zamannya. Beliau sangat tahu mengenainya dan sangat dhabit tentangnya. Beliau mempelajari qiraāt secara langsung daripada Imam Hamzah sebanyak empat kali dan beliau juga mempelajarinya daripada Muhammad bin Abi Laili, Isa bin Umar dan lain-lain. Isa mengambil bacaan daripada ‘Asim,’ dan sanadnya bersambung ke Rasulullah s.a.w. sama seperti sebelum ini.

a. Abu al-Harith

Nama sebenar beliau ialah al-Laith bin Kholid al-Mirwazi al-Baghdadi. Nama gelaran beliau ialah Abu Harith. Beliau merupakan seorang yang sangat dhabit dengan qiraat. Beliau wafat pada tahun 240 Hijrah.

b. Al-Duri

Nama sebenar beliau ialah Hafs bin Umar bin Abdul Aziz Ad-Duri. Beliau merupakan perawi yang sama dengan Abu Amru.



8 Abu Ja’far Al-Madani

Nama sebenar beliau ialah Yazid bin al-Qa’qa’ al-Makhzumi. Beliau merupakan imam qiraāt di Madinah yang sangat sempurna thiqah dan dhabitnya. Beliau telah mempelajari qiraat daripada Abdullah bin ‘Abbas, dan Abu Hurairah. Mereka mempelajarinya dari Ubay bin Ka’ab. Ubay bin Ka’ab mengambil bacaan daripada Rasulullah s.a.w.

Ramai yang merawikan qiraāt daripadanya, antaranya ialah Nafi’ bin Abi Naim, Abdul Rahman bin Zaid bin Aslam, Abu Amru bin al-‘Ala’, dan lain-lain lagi. Terdapat dua orang perawi yang termasyhur, iaitu ‘Isa bin Wardan dan Sulaiman bin Jammaz.

a. Ibnu Wardan

Nama sebenar beliau ialah ‘Isa bin Wardan al-Madani. Beliau wafat di Madinah pada tahun 160 Hijrah.

b. Ibnu Jammaz

Nama sebenar beliau ialah Sulaiman bin Muhammad bin Muslim bin Jammaz. Beliau wafat di Madinah pada tahun 170 Hijrah.



9 Ya’qub Al-Basri

Nama sebenar beliau ialah Ya’qub bin Ishaq bin Yazid bin Abdullah bin Abi Ishaq. Gelaran beliau ialah Abu Muhammad. Beliau merupakan salah seorang dari qurra’ sepuluh. Beliau mengambil bacaan daripada Abi al-Munzir Salam bin Sulaiman, Abi al-Asyhab Ja’far bin Hayyan dan lain-lain. Salam mengambil bacaan daripad ‘Asim al-Kufi dan daripada Abu Amru.

Ramai yang merawikan qiraat daripadanya, antaranya ialah Abu Hatim al-Sajastani, Muslim bin Sufian, Abu Basyar Al-Qitthan, Abu Amru dan lain-lain. Perawi yang termasyhur ialah Ruwais dan Rauh.

a. Ruwais

Nama sebenar beliau ialah Muhammad bin al-Mutawakkal al-lu’lu’i Al-Basri. Nama gelaran beliau ialah Abi Abdullah. Beliau wafat di Basrah pada tahun 238 Hijrah.

b. Rauh

Nama sebenar beliau ialah Rauh bin Abdul Mu’min al-Hazli Al-Basri. Beliau digelar Abu al-Hasan. Beliau wafat pada tahun 234 Hijrah.



10 Kholaf al-‘Asyir

Nama sebenar beliau ialah Kholaf bin Hisyam bin Tha’lab. Beliau merupakan seorang hafiz al-Qur’an ketika berumur sepuluh tahun. Beliau mula mempelajari ilmu ketika berumur tiga belas tahun. Beliau merupakan seorang yang thiqah, zuhud dan alim. Beliau mempelajari qiraat daripada Salim bin ‘Isa dan Abd al-Rahman bin Hammad, dan mereka mengambil bacaan daripada Hamzah.

Ramai yang telah merawikan qiraat daripadanya. Antaranya ialah Wasma’a Ahmad bin Ibrahim, Ahmad bin Yazid al-Halwani, Idris bin Abdul Karim al-Haddad dan lain-lain. Terdapat dua orang perawi yang termasyhur, iaitu Ishaq dan Idris.

a. Ishaq

Nama sebenar beliau ialah Ishak bin Ibrahim bin Uthman bin Abdullah. Beliau digelar Abu Ya’qub. Beliau wafat pada tahun 286 Hijrah.

b. Idris

Nama sebenar beliau ialah Idris bin Abdul Karim al-Haddad al-Baghdadi. Beliau digelar Abu al-Hasan. Beliau wafat pada tahun 292 Hijrah.

Friday, May 14, 2010

Apakah rukun-rukun bacaan al-Qur'an yang sah?

Terdapat khilaf antara ulama’ pada rukun qiraāt sahih yang diterima iaitu yang boleh dengannya Al-Qur’an dibaca didalam dan di luar solat. Sebahagian mereka menjadikan tiga rukun, iaitu:


  1. Kesinambungan sanad dengan bacaan Rasulullah s.a.w. (secara musyafahah).
  2. Bertepatan dengan bahasa Arab Faṣahah.
  3. Bertepatan dengan salah satu dari mushaf-mashaf Rasm Uthmani.

Oleh itu, jika bacaan al-Qur'an tersebut tidak menepati salah satu atau keseluruhan daripada rukun-rukun bacaan al-Qur'an, maka bacaan tersebut adalah tidak sah dan tidak boleh dibaca di dalam solat.
 
Wallahua'lam..

Thursday, May 13, 2010

ISTILAH-ISTILAH PENTING DALAM QIRAĀT

Dalam ilmu qiraat, terdapat perkara ketetapan dan kaedah –kaedah yang berkaitan dengan pembacaan Al-Qur’an sebagaimana yang terdapat dalam ilmu tajwid. Maka selain daripada istilah dan kaedah yang terdapat dalam ilmu tajwid, terdapat beberapa istilah yang lain yang terdapat dalam ilmu qiraāt, seperti mad, tawassut, qasr, isymam, taghliz, naqal, dan lain-lain lagi. Berikut akan diterangkan beberapa istilah penting yang terdapat dalam ilmu qiraat;


Mad
Iaitu memanjangkan bacaan sesuatu kalimah. Jika dalam kalimah itu terdapat salah satu huruf mad yang tiga (alif, waw, ya’), maka kadar panjang bacaannya ialah tiga alif atau enam harakat.

Tawassut
Iaitu bacaan huruf hamzah yang diiringi oleh huruf mad, maka kadar panjangnya ialah dua alif iaitu empat harakat.

Qasr
Iaitu bacaan huruf hamzah yang diiringi oleh huruf mad, maka kadar panjang bacaannya ialah satu alif atau dua harakat.

Isymam
Iaitu memuncungkan dua bibir ke hadapan sejurus selepas mematikan huruf sebagai isyarat baris dhommah.

Taghliz
Iaitu menebalkan bunyi huruf lam yang berbaris fathah sama ada bersabdu atau tidak, ketika huruf lam terletak di tengah atau di hujung, dengan syarat apabila didahului dengan huruf ص,ط ,atau ظ yang berbaris fathah atau sukun seperti أظلم ، الطلاق، الصلاة . Maka huruf lam pada kalimah – kalimah yang disebutkan tadi dibaca dengan tebal seperti bunyi antara baris fathah dan dhommah.

Naqal
Iaitu membariskan setiap huruf yang mati yang terletak di akhir kalimah dengan baris huruf hamzah yang terletak selepasnya sama ada berbaris fathah, kasrah atau dhommah, dan menghazafkan huruf hamzah itu selepas dipindahkan barisnya kepada huruf yang sebelumnya.

Imalah
Bermaksud condong, iaitu mencondongkan atau mengerengkan bacaan alif sebagai huruf mad sehingga berbunyi baris fathah dan berbaris kasrah.

Saktah
Iaitu menghentikan bacaan sekejap tanpa bernafas dan menyambung bacaan dengan nafas yang sama.

Tashil
Bermaksud memudahkan, iaitu membunyikan suatu bunyi antara bunyian huruf hamzah dan alif.

Raum/ ikhtilas
Iaitu melemahkan suara dengan harakat huruf yang dibentuk denganya dalam keadaan sambung ketika waqaf sehingga hilang kebanyakkan suaranya (harakat).

Ibdal
Iaitu pertukaran huruf dengan huruf.

Saturday, May 8, 2010

Penurunan al-Qur'an dalam TUJUH HURUF...

Al-Qur’an diturunkan dalam tujuh huruf. Berikut merupakan beberapa hadis yang menunjukkan penurunan al-Qur’an dalam tujuh huruf;

  1. Diriwayatkan oleh Imam Bukhāri dan Muslim dalam sahihnya, bahawa sesungguhnya Umar bin al-Khatāb berkata: “Aku mendengar Hisyām bin Hākim bin Hizām membaca surah al-Furqān, tidak seperti bacaan (qiraāt) Nabi s.a.w. yang pernah dibacakan baginda kepadaku. Kerana itu hampir sahaja aku bertindak kasar terhadapnya. Tetapi kemudian kubiarkan sahaja sehingga dia bersalam. Namun kupegang bajunya, lalu kubawa dia kehadapan Rasulullah s.a.w.. Ujarku, “Ya Rasulullah! Aku mendengar orang ini membaca surah al-Furqān, tidak seperti anda baca kepadaku. Bagaimana ini?” Jawab Rasulullah s.a.w., “Lepaskanlah dia! Suruh dia membacanya kembali.” Lalu Hisyam membacakan kembali bacaan seperti yang dibacakan tadi. Setelah itu Nabi s.a.w. bersabda “Ya, memang begitulah ayat itu diturunkan.” Kemudian Nabi s.a.w. menyuruhku pula membaca. Lalu kubaca seperti yang biasa ku baca. Maka sabda Nabi s.a.w. “Ya, ayat itu memang diturunkan pula seperti itu. Sesungguhnya Al-Qur’an itu diturunkan dengan tujuh macam qiraāt (bacaan) Kerana itu, bacalah dengan bacaan yang mudah bagi mu membaca dengannya.”
  2. Dari Ibnu Abbas r.a., katanya Rasulullah s.a.w. bersabda: “Mula-mula Jibril mengajarkan (membaca al-qur’an) kepadaku satu macam qiraāt (bacaan) sahaja. Lalu aku sentiasa memintanya untuk selalu diulangkannya kepadaku (sampai aku mudah membacanya). Maka Jibril mengulang-ulangnya sehingga akhirnya bacaan itu menjadi tujuh macam.” (Riwayat Muslim).

Friday, May 7, 2010

Apakah hukum mempelajari ilmu Qiraat?

Ulama’ telah bersepakat bahawa setiap ilmu tidak diberatkan keatas setiap umat Islam. Maka, hukum mempelajarinya dan mengamalkannya merupakan fardhu kifayah sama ada dari ilmu agama atau ilmu dunia. Oleh itu, ilmu kedoktoran, kejuruteraan, dan selainnya adalah terdiri daripada ilmu dunia manakala ilmu qiraat, hadith nabi, ilmu tajwid dan selainnya adalah terdiri daripada ilmu agama. Walaubagaimanapun, semuanya merupakan sebahagian daripada ilmu-ilmu Allah dan wajib keatas umat Islam untuk memelihara semua ilmu-ilmu ini.


Maka, secara khususnya pada ilmu qiraāt, sama ada dari segi mengetahui pembacaan dan periwayatannya , dan beramal dengannya adalah merupakan fardhu kifayah keatas kaum muslimin.

Thursday, May 6, 2010

Hubungan antara al-Qur'an dan al-Qiraat...

Menurut pendapat al-Imam al-Zarkasyi, dalam kitabnya al-Burhan, al-Qur'an dan al-Qiraat merupakan dua hakikat yang berbeza. Al-Qur'an ialah wahyu yang diturunkan keatas nabi s.a.w. sebagai keterangan dan mukjizat. Adapun, qiraat pula ialah perbezaan yang terdapat pada lafaz-lafaz wahyu yang terdapat pada huruf, dan cara membacanya. Terdapat sebahagian ulama' yang bersependapat dengan pendapat ini, iaitu al-Qisthilani dan Syiekh Ahmad bin Muhammad al-Dimyathi.


Manakala menurut pendapat ulama' al-Azhar, Dr. Muhammad Salim Muhaisin pula, al-Qur'an dan al-Qiraat merupakan dua hakikat yang membawa pengertian yang sama, berdasarkan pengertian al-Qur'an yang merupakan masdar dari perkataan قراءة dan Qiraat merupakan jama' bagi perkataan قراءة. Maka keduanya mempunyai makna yang satu.


Dr Sya’bān pula berpendapat, tidak berlaku antara al-Qur’an dan qiraāt perbezaan yang sepenuhnya, kerana qiraāt sahīh yang dibaca oleh orang ramai adalah sebahagian dari al-Qur’an, dan keduanya tidak mempunyai perbezaan yang jauh, iaitu;

  1. Kerana qiraāt yang terdapat khilāf padanya tidak terdapat pada seluruh kalimah al-Qur’an, bahkan hanya terdapat pada sebahagian lafaz sahaja. 
  2. Pengertian qiraāt merangkumi qiraāt yang mutawātir yang sah bacaan al-Qur’an dengannya sepertimana merangkumi qiraāt syāzah, yang ijma’ ulama’ bersepakat bahawa tidah sah bacaan al-Qur’an dengannya.  

Maka, kedudukan Al-Qur’an dan qiraāt tidaklah mempunyai perbezaan yang sepenuhnya, sepertimana kedua-duanya tidak jauh dari kesatuan hakikat, bahkan antara kedua-duanya terdapat perkaitan yang sangat rapat.

  
(Sumber: kitab Mulkhis Fi Ilmi al-Qiraat, oleh: Dr Abdul Rahman bin Abdul Ghani)

Wednesday, May 5, 2010

Apa faedah belajar ilmu Qiraat?

Sebenarnya, terdapat banyak faedah apabila kita mempelajari ilmu qiraat. Antaranya ialah
  1. Kita akan terpelihara dari kesalahan dalam menyebut kalimah-kalimah al-Qur'an
  2. Kalimah al-Qur'an akan dapat dipelihara dari pemesongan dan penyelewengan.
  3. Kita akan mengetahui sumber cara bacaan qiraat setiap imam dan imam-imam qiraat.
  4. Kita akan dapat membezakan antara apa yang boleh dibaca dan apa yang tidak boleh dibaca dengannya.

Apa itu QIRAAT?

Qiraat dari segi bahasa ialah berasal dari perkataan jama' قراءة iaitu berasal dari masdar atau kata terbitan قرأ yang bermaksud bacaan. Manakala dari segi istilah, qiraat merupakan suatu ilmu yang membincangkan tentang cara-cara menyebut kalimah al-Qur'an bersandarkan dari ulama'-ulama' qiraat. Ia juga merupakan satu bentuk bahasa dan sebutan yang diharuskan oleh Allah ta'ala untuk membaca al-Qur'an dengannya sebagai kemudahan kepada hambanya untuk beribadah.
Ilmu qiraat hanya membincangkan tentang kalimah-kalimah yang terdapat dalam al-Qur'an sahaja, iaitu dari segi keadaan-keadaan menyebut dengannya dan cara-cara bacaannya. Contohnya, apabila setiap huruf alif yang ditukarkan kepada huruf ya, Imam Hamzah, Kisaie, dan Kholaf akan membaca dengan imalah dan Imam Warsy akn membaca dengan taqlil dengan khilaf, seperti pada kalimah والضحى ، الهدى . atau sebagai contoh yang lain, apabila setiap huruf ra' yang berbaris fathah atau kasrah yang terletak selepas huruf yang berharakat kasrah atau ya' yang sukun, Imam Warsy akan membaca dengan nipis. Contohnya خير ، لن نصبر dan sebagainya.